Friday 2 March 2012

pengertian pendidikan islam



Pendidikan Islam mempunyai dua maksud.  Pertama pendidikan Islam Umum dan kedua pendidikan Islam khusus (Hasan Langgulug, 1995). Pendidikan Islam umum ialah pendidikan yang diberi kepada orang Islam dalam semua keadaan, seperti di sekolah, di rumah, di kedai, di hospital, di jalan dan lain-lain.  Ia termasuk dalam semua hal, dalam ekonomi, sosial, politik, teknik, pelajaran, permainan, sukan, pekerjaan dan sebagainya.  Pendidikan Islam khusus ialah mata pelajaran sekolah, iaitu yang termasuk di dalamnya ilmu-ilmu seperti Tauhid, Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak dan sebagainaya.  Jadi, bila disebut pendidikan Islam, ia tidak semestinya bermaksud mata pelajaran agama di sekolah, malah ia  bermaksud lebih luas lagi, iaitu segala usaha untuk mendidik orang Islam menjadi muslim.
            Dengan demikian, jelas kepada kita bahawa pendidikan Islam itu ialah satu usaha mendidik insan muslim melalui nasihat, pengetahuan, ilmu, penghayatan, contoh, sekolah, rumahtangga, masyarakat, alam sekitar dan lain-lain.  Mata pelajaran sekolah ialah Pengetahuan Agama Islam atau Agama atau Ilmu Agama, atau Pengetahuan Islam.  Pendidikan Islam sepatutnya terdapat dalam semua mata pelajaran sekolah yang disampaikan oleh semua guru yang beragama Islam, manakala ilmu Agama itu merupakan satu wadah dalam pendidikan. 

No comments:

Post a Comment